Skip to main content

Aku dan kerjayaku - seperti telah ditakdirkan.


28/6/2019 - Tamat peperiksaan semester akhir tahun 4.
3/7/2019 - Dipanggil sesi temuduga (3 orang calon terlibat).
4/7/2019 - Keputusan temuduga, berjaya (offer of employement).
5/8/2019 - Dipanggil masuk "on duty" untuk mulakan tugas sebagai Lab Analyst (process) di Central Laboratory Lynas Malaysia Sdn Bhd.

Macam2 soalan saya dapat dari junior, coursemate, senior. Macam mana kau buat Hafiz? Cepat betul dapat job? Ada orang dalam ke? Eh, bukan graduan sains sekarang susah dapat kerja?

Bagaimana saya melakukannya, saya tidak ada satu panduan khusus untuk dikongsi. Semuanya seperti telah diatur. Tamat pengajian di USM > gembira > mohon kerja di Jobstreet dan website industri kimia yang relevan > dipanggil temuduga > keputusan temuduga melalui panggilan telefon > temuduga berjaya > diterima sebagai permanent staff di Lynas Corp > bersyukur > bulan 9 konvokesyen. Ya saya berjaya menempatkan diri dalam industri kimia sebelum bergelar graduan kimia secara rasmi, sehingga hari ini hampir 8 bulan.


Surat tawaran kerja lepas hampir sebulan dari tarikh temuduga.

Disclaimer: Saya tidak akan berkongsi berkenaan isu Lynas dalam ruangan ini. Sebelum "judge" mohon baca laporan MESTECC 2018 yang telah dibentangkan, cukup jelas.

Perancangan awal

Semasa di awal tahun 3 lagi saya telah berfikir panjang tentang laluan perjalanan hidup saya, sejauh mana saya mampu melangkah? Berkarier kerana passion atau sekadar kerja untuk hidup.. soal jodoh dan lain-lain. Saya cuba untuk buat satu perancangan awal dalam tempoh 5 tahun, apa yang saya akan capai. Semestinya (waktu itu) kahwin bukanlah dalam list saya, maka peluang kerjaya itu yang menjadi kerungsingan saya samada bidang ini masih laku di Malaysia ataupun saya terpaksa berhijrah ke negara orang demi meneruskan passion ini. Lebih-lebih lagi viral ketika itu bahawa graduan universiti dalam bidang sains gunaan antara top 5 paling ramai menganggur. Pernah saya ajukan soalan ini dalam bual bicara karier anjuran universiti, dan saya mendapat respon terus dari Dekan Pusat Pengajian Sains Kimia namun jawapannya tidaklah begitu memuaskan hati saya. Sambung master? Pada mulanya memang berminat tetapi pada tahun akhir pengajian, setelah berhempas pulas dengan Final Year Project, saya dapat rasakan jiwa saya belum sesuai untuk directly dari degree terus ke peringkat master terutamanya jika mod by research. 

Mula mencari

Misi mencari kerja secara serius bermula pada study week semester 8 tahun ke-4 pengajian. Lebih kurang 40 buah syarikat resume dihantar melalui Jobstreet, respon hanya 5, dipanggil temuduga hanya sebuah syarikat yang terletak di Selangor. Pada mulanya mereka menetapkan tarikh temuduga pada tempoh peperiksaan, jadi saya terpaksa menolak dengan alasan kurang persediaan pada tarikh tersebut. Maka saya cuba bermain tarik tali dengan syarikat tersebut (pentingnya skill menulis untuk memancing HR) dengan memberikan satu tarikh yang baru iaitu pada 1/7/2019. Huh, umpan mengena saya dapat lanjutkan ke tarikh tersebut. Saya tak berhenti di sini, misi diteruskan dengan memohon lagi 3 buah syarikat yang ternama, 1. Felda Global Venture, 2. Lynas Corporation & 3. Petronas. Saya menggunakan platform yang mudah dicari, official website mereka lah! Bagaikan orang yang mengantuk disorongkan bantal, rezeki saya, terjumpa emel HR syarikat-syarikat berkenaan. Maka menggunakan karangan yang sama bagi ketiga2 syarikat ini saya mula memohon (edit nama syarikat je). Bukanlah satu praktis yang baik, tetapi berkesan apabila kesemua syarikat ini memberikan respon yang positif! 

Maka apa tindakan saya setelah mendapat peluang ini? Terus saya mengambil keputusan berbincang dengan pensyarah-pensyarah di pusat pengajian terutamanya apabila melibatkan syarikat Lynas Corp, sebab saya sedia maklum isu ini melibatkan alam sekitar dan politik negara. Dr Faiz Latip (supervisor FYP) merupakan insan yang paling bersungguh-sungguh meyakinkan saya untuk mencuba di Lynas Corp. Saya mulakan pencarian, fakta bertemu fakta, hujah demi hujah, saya berasa yakin bahawa apa yang disebut oleh Dr itu betul dan tepat. Jangan lupa, saya mulakan pencarian masa study week tetapi akhirnya berlarutan sepanjang peperiksaan, jadi sedikit masa terbuang untuk study sebab terpaksa buat bacaan lain untuk syarikat2 berkenaan. Jadi cadangan saya, seeloknya mohonlah dari awal semester terakhir anda, jangan tunggu di hujung atau setelah tamat belajar kerana pada waktu itu persaingan untuk kerja dah semakin hebat. Rancanglah dengan baik. 

Panggilan demi panggilan


Syarikat pertama ialah syarikat yang berasaskan makanan, Ecolex Sdn Bhd terletak di Pulau Indah. Jawatan yang ditawarkan ialah QA Analyst. Sepanjang sesi temuduga, soalan yang diajukan tidak lari dari format biasa iaitu perihal diri kamu, tentang pengajian di universiti, latihan industri, apa yang kamu belajar, apa yang kamu tahu tentang syarikat mereka, perancangan dalam tempoh 10 tahun, dan lain-lain. Kemudian soalan yang panas iaitu food and palm oil chemistry, GMO, lipid, nutrition, penggunaan dan kemahiran instrumen analisis contohnya GCMS, GCFID, HPLC, kesesuaian sampel bagi instrumen serta pengetahuan asas instrumen yang ada dalam makmal mereka. Tempoh temuduga lebih kurang sejam setengah dengan Lab Manager dan HR termasuk soal gaji dan kelebihan-kelebihan lain. Keputusannya, temuduga berjaya, dan saya diterima bekerja di sini.




Syarikat kedua ialah Lynas Malaysia Sdn Bhd di kampung halaman saya, Kuantan, Pahang. 2 hari selepas temuduga di Selangor, memang penat dan mencabar. Saya ditemuduga oleh 3 orang staf iaitu Principal Chemist (process & product) dan HR. Tidak jauh dengan soalan sebelum ini, yang bezanya hanya soalan berkenaan pengetahuan asas Industri Nadir Bumi dan instrumen yang terlibat seperti XRF, ICP & UV-Vis. Apa yang tak diduga mereka bertanya saya secara terperinci berkenaan XRF bermula dari penyediaan sampel sehingga ke analisis kerana semasa sesi perkenalan saya ada sebut bahawa saya terlibat dengan projek sampel Gua Niah menggunakan 3 instrumen iaitu XRF, XRD dan SEM semasa latihan industri di Pusat Pengajian Arkeologi Global (boleh rujuk post lama). Maka  berlarutanlah temuduga sehingga sejam lebih. Esoknya, saya dapat panggilan ditawarkan sebagai staf tetap di Lynas dan perlu menunggu surat tawaran sebelum mulakan tugas. Kesimpulan di sini, latihan industri anda tidak sia-sia, treasure the knowledge in your mind. 

Pemandangan cracking & leaching dari jauh.

Saya lah tu!

Makmal kebanggaan Lynas Corp.

Pemandangan di waktu malam.


Syarikat ketiga ialah Felda (FGV) sebagai Executive Chemist. Calonnya dalam 10 orang, jawatannya satu. Berbekalkan keinginan cuba jaya, maka saya bertolak ke Jengka untuk menghadiri sesi temuduga ni. Siapa sangka soalannya sangat mudah, haha, biasa-biasa saja, tentang syarikat mereka, produk mereka, isu-isu ekonomi di felda. Tak ditanya langsung ilmu palm oil chem yang saya penat belajar kat uni dan study malam sebelum tu. Tapi saya berjaya pancing mereka dengan projek tahun akhir dulu berkenaan baja. Ya masa ini memang saya basuh habis-habisan dengan segala data, teknik yang saya guna untuk hasilkan Control Release Fertilizer (CRF) menggunakan Layered Double Hydroxide. Sesi tamat dalam 30 minit. Keputusan akan diumumkan dalam tempoh sebulan, saya gagal untuk jawatan ni. Redo. Saya percaya ramai calon yang lebih hebat tempoh hari.

Pintu masuk bangunan R&D 

Syarikat keempat yang memberikan respon ialah Petronas kita boh. Seronok tapi perassan tu sekejap je sebabnya...

Hahahahaha, nak buat macam mana kawan2, dah bukan rezeki. Eh tak lama kemudian mereka pula emel semula saya suruh mohon lagi. Kita layan je la ek?



Tak lama tu dia bagi link untuk ujian atas talian, dan suruh saya menunggu respon seterusnya. Sehinggalah ke hari ini tahun 2020 tiada sebarang respon walaupun dah minta feedback semula. Kesimpulannya, saya tidak disenaraikan dalam calon yang berjaya. Takpelah rezeki tuhan itu masih ada di mana-mana pun.

Saya memilih

Ya, saya memilih Lynas sebagai tapak saya memulakan karier sebagai ahli kimia di tanah air ni. Flashback.. semenjak tahun 2 lagi saya sememangnya ada cita-cita untuk bekerja di sini kerana saya tahu industri ini beroperasi di daerah kelahiran saya dan dekat dengan rumah mak ayah saya. Lagi-lagi ayah saya pula sudah mencecah 60 tahun, walaupun masih sihat tapi bekerja di sini akan memberi peluang kepada saya untuk terus berjasa kepada mereka. Tidak kusangka di sini pula cinta pertama berputik. Saya jatuh cinta dengan ilmu mineralogi, terasa ingin tahu dan ingin membijakkan masyarakat yang naif membezakan industri mineral dengan teknologi nuklear (Lynas sering dikaitkan dengan isu ni pada peringkat awalnya). Lalu saya memilih Universiti Malaysia Pahang, satu-satunya di Malaysia yang menawarkan bidang mineralogi (by coursework) untuk saya meneruskan pengajian peringkat sarjana. Seperti telah ditakdirkan.

Sebenarnya banyak dah yang saya kongsi secara peribadi dengan kawan-kawan, junior tentang selok-belok untuk mohon kerja terutama dalam bidang kimia ni. Bukan ingin mendabik dada, tetapi niat saya hanyalah untuk mengabadikan sedikit tips dalam blog ini supaya dapat dijadikan rujukan orang lain pada masa akan datang. Semoga bermanfaat untuk semua.



Comments

  1. Boleh saya tahu, interview di FGV, menggunakan bahsa melayu atau english?

    ReplyDelete
  2. Great and that i have a super provide: Whole House Reno home remodeling contractors near me

    ReplyDelete

Post a Comment