Skip to main content

Jiwa(ku) yang sentiasa ingin meningkat

"Kadang kita terpengaruh dengan minat dan cita-cita kita, tapi Allah sudah ada perancangan Nya sejak azali.. Orang yang tengok diri kita pun kadang dapat nilai keupayaan kita dalam industri untuk kepentingan syarikat.. Jadi rezeki ada di mana-mana bahagian sahaja. Moga-moga anak-anak ibu semua sentiasa meningkat dalam pencapaian masing-masing. Minat boleh dipupuk.. Buatlah dengan seronok. Kerja kalau kita lakukan dengan seronok, akan jadi seronok dan timbul kan minat akhirnya.. Kepuasan akan terhasil.", Ibu.

Aku sematkan pesanan ini sebagai motivasi untuk memulakan kerjaya yang baru menjelang tahun baru 2021 nanti, kerjaya yang tidak pernah aku rancang untuk menceburinya, tidak pernah terlintas dalam fikiran bahawa aku ingin menjadi seorang jurutera. Bahkan dahulu walaupun diberi peluang temuduga JPA tajaan ke Jepun dalam kejuruteraan pun aku tak hadir, aku rasa tidak berminat dan buang masa. 

Hari ni, aku dah terjebak dalam bidang ini. Aku tertanya-tanya, kenapa aku boleh 'buang masa' menerima  jawatan sebagai Process Engineer kelak di Lynas Rare Earths? Dari seorang 'budak lab' ke jurutera bukanlah satu pilihan yang mudah untukku. Kerana aku ditakdirkan? jujurnya ini merupakan jawatan yang bukan aku pohon, tak pernah isi borang apatah lagi menghantar resume sebagai Engineer. Iklan jawatan ni menjenguk emel aku seketika, aku 'triggered' kemudian berfikir panjang biarlah.. Kemudian muncul jawatan Chemist, yang ini aku minat. Boleh cuba. Aku cuba. 

Beberapa kali kami disaring, setiap kali temuduga aku tegaskan bahawa aku tidak mohon jawatan sebagai Engineer, sehinggalah temuduga yang terakhir yang berlangsung selama hampir 2 jam dengan Manager Solvent Extraction di Lynas. Keseronokan dan perbezaanya dapat dirasai, dia seorang yang berjiwa besar. Dia berjaya membuka mata dan pandangan aku tehadap profesyen jurutera terutama jika aku seorang Process Engineer di Lynas dengan membayangkan satu peluang yang cerah dalam industri Nadir Bumi suatu hari nanti. Realiti kata-katanya dapat dilihat apabila tiba-tiba sekarang negara kita kecoh dengan perlombongan Nadir Bumi. Ya, seperti biasa sebelum tutup sesi temuduga aku jujur padanya aku tidak pernah pula pohon jawatan ni, cumanya aku berseloroh jika jawatan ini tetap ditawarkan aku sanggup mencuba dan belajar. Sebenarnya jauh di sudut hatiku aku rasa mungkin tak dapat sebab aku terlalu jujur.. 

3/12/2020 aku dikhabarkan secara tidak rasmi bahawa aku akan dipindahkan untuk jawatan ini. Terfikir panjang sekali lagi.. 

Entah bagaimana aku rasa Tuhan sedang merancangkan sesuatu untuk aku, bermula dengan keinginan membuak-buak untuk aku menyambung Master dalam Teknologi Mineral, tiba-tiba aku rasa seperti dihadiahkan jawatan yang selari pula dengannya. Aku yakin doa kedua ibu bapaku pasti menemani. Tidak mengapalah.. misi aku kini hanyalah untuk belajar dan mengambil bahagian dalam apa jua yang akan memberikan manfaat kelak. Tidak pesimis, Hidupkan cita-cita dan jangan putus asa! bak kata Buya Hamka.

Sesungguhnya aku sangat-sangat bersyukur kepada Tuhan kerana mengurniakan aku jiwa yang sentiasa ingin meningkat ke tahap yang baru dan aku direzekikan dengan laluan yang agak mudah. Bagi aku juga setiap orang perlu ada keazaman untuk sentiasa ingin meningkat dalam hidup mereka kerana agama mengajar sedemikan.

Lihat dialog antara Khalifah Umar bin Abdul Aziz dan penasihatnya Raja' bin Haywah.

Umar bin Abdul Aziz berkata tentang dirinya, apabila Raja' bin Haywah sedih meilhat penampilan Umar yang berbeza ketika memegang jawatan khalifah berbanding gabenor suatu masa dulu.

Raja' berkata "Aku sedih kerana melihatmu apabila menjadi gabenor dahulu suka kepada pakaian yang mahal-mahal, tetapi setelah menjadi khalifah memakai baju-baju yang murah, bahkan baju yang murah itupun masih dikatakan mahal. Berbeza dulunya sewaktu kau seorang gabenor, apabila dibeli baju-baju yang mahal dikatakan masih murah.."

Raja' menangis.

Kata Umar bin Abdul Aziz "Apa yang menyebabkan kau menangis wahai Raja'? "

"Sesungguhnya aku ini mempunyai Nafsan Tawwaqah

(Nafsan Tawwaqah bermaksud setiap kali dia mencapai sesuatu perkara, dia ingin sesuatu yang selepas daripada itu)

Jiwaku ini teringin kepada sepupuku Fatimah binti Abdul Malik, maka aku bernikah dengannya.

Kemudian aku teringin kepada jawatan Imarah (Gabenor), Allah kurniakan kepadaku.

Kemudian kepada jawatan Khalifah, Allah kurniakan juga kepadaku.

Sekarang wahai Raja', jiwaku ini teringin kepada syurga, maka aku berharap kepada Allah agar aku termasuk dalam kalangan ahli syurga."

Persis Khalifah Umar Abd Aziz, sentiasalah kita bercita-cita besar sehingga syurgaNya, gembirakan hati, berbaik sangka dengan aturan kehidupan, bak kata Hamka lagi "Jangan diabaikan cita-cita yang tumbuh, pupuklah dia. Baik pada burung yang mengangkut rumput selembar-lembar untuk sarang anaknya. Atau pada petani yang bertekun di sawah, di bawah cahaya matahari sehingga punggungnya telah hitam. Cita-citalah tiang kemajuan, tonggak gerak bumi dan yang menimbulkan nafsu bergerak".

Semoga kita semua peroleh kejayaan dalam kehidupan.


p/s: Jawatan ini merupakan Associate Programme di Lynas Advance Materials Plant lanjutan daripada Lynas 2025 growth strategy.



Kekecohan baru-baru ini timbulkan polemik dalam kalangan jurutera perlombongan dan mineral.






Comments